eBook Issues of Historiography: Essays in honor of Dr. R. Suntharalingam, Abu Talib Ahmad
Ebook

ISSUES OF HISTORIOGRAPHY: ESSAYS IN HONOR OF DR. R. SUNTHARALINGAM 

por el autor   Abu Talib Ahmad


(0) Votos
    
(10) Vistos
    
(0) Comentarios
    
(0) Me gusta 

ISBN: 9789838617598
Tema: Estudios Literarios - Géneros literarios
Editorial: Sin editorial
Fecha publicación: 2014
Idioma: Español
Formato electrónico:  EPUB 

Formato Precio Comprar
eBook US$ 6.44
Valoraciones usuarios
5 estrellas
(0)
4 estrellas
(0)
3 estrellas
(0)
2 estrellas
(0)
1 estrella
(0)

Reseña

Buku ini, yang merupakan satu koleksi 12 esei, ialah penghargaan kepada Profesor Madya Dr. R. Suntharalingam sempena persaraannya pada Oktober 1991 yang disumbangkan oleh rakan-rakan dari Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dan semasa beliau menuntut di Universiti Malaya di Singapura serta bekas-bekas pelajarnya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pensejarahan dan nasionalisme, dua bidang yang sangat diminati oleh Dr. Suntharalingam dengan tumpuan kepada sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia pula bukanlah satu bidang yang asing kepada Dr. Suntharalingam. Di samping mengendalikan penyeliaan latihan ilmiah (semuanya dalam bidang sejarah Malaysia) untuk pelajar tahun akhir, beliau juga kerap merujuk kepada sejarah Malaysia ketika mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan dengan pensejarahan. Malah bagi seorang pakar sejarah India, pengetahuannya tentang sejarah Malaysia amat mengkagumkan. Bab pertama merupakan perbincangan Cheah Boon Kheng tentang feudalisme Melayu. Dengan menggariskan ciri-ciri feudalisme yang terdapat dalam sejarah Eropah Barat, beliau membincangkan dengan panjang lebar feudalisme Melayu di zaman prapenjajahan. Lebih menarik lagi beliau mengajukan persoalan apakah feudalisme Melayu itu satu ciptaan orang Inggeris atau merupakan satu hakikat yang benar-benar wujud. Di dalam bab berikutnya, Mohamad Isa Othman memberikan perhatian kepada sumber sejarah Kedah khususnya Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1928 dan ditulis oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arshad (Tok Kerani Rahsia al-marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Syah). Menurut Mohamad Isa, apa juga kelemahannya sumber ini tetap penting bagi mengkaji sejarah Kedah Darul Aman. Di dalam bab ketiga, K. Anbalakan membincangkan objektiviti di dalam sejarah, yang menurutnya bukan merupakan satu impian, satu perkara yang semestinya boleh menarik perhatian setiap penuntut sejarah. Sementara itu Qasim Ahmad pula membincangkan persoalan pokok dalam ilmu sejarah seperti sumber (termasuk juga bukti), pengesahan fakta, pentafsiran dan objektiviti. Lebih menarik lagi perbincangan ini dibuat dengan merujuk kepada pendapat beberapa orang ahli sejarah termasuk Dr. Suntharalingam. Satu aliran baru dalam ilmu sejarah, aliran Pasca-Modenisme, disentuh dengan panjang lebar oleh Tan Liok Ee di dalam bab lima. Perbincangan menarik ini tentunya berguna kepada para pelajar yang mengikuti kursus Teori dan Kaedah, satu kursus yang pernah dikendalikan oleh Dr. Suntharalingam. Dengan merujuk kepada beberapa aspek teori ini, Tan Liok Ee menyoal apakah Pasca-Modenisme membawa satu haluan baru sejarah yang menyegarkan atau sebaliknya menyahstabilkan ilmu sejarah. Di dalam bab yang berikutnya, Tan Kim Hong membincangkan falsafah dan pendekatan Ssu-ma Ch ien, seorang sejarawan ulung China tradisional terhadap penulisan sejarah sezaman (wangsa). Keobjektifan karya agung sejarawan Cina ini yang berjudul Shih Chi juga diuji dan seterusnya Tan Kim Hong membuat kesimpulan bahawa karya ini merupakan satu karya sejarah yang objektif dan sekaligus menaikkan mutu pensejarahan China tradisional. Esei Mahani Musa pula membincangkan satu dokumen menarik berkenaan sejarah sosial Pulau Pinang yang merupakan buku catatan harian (diari) Shaikh Omar Basheer, seorang tokoh Melayu Pulau Pinang pada abad ke-19. Antara lainnya, diari ini menyentuh kegiatan agama dan perdagangan Shaikh Omar dan juga penglibatan orang Melayu dalam kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah. Sumbangan penting Paul Kratoska, walaupun ditulis dalam bahasa Inggeris, merupakan satu tinjauan ringkas berkenaan sumber di dalam bahasa Inggeris, yang dikeluarkan oleh kerajaan Inggeris dan sebelumnya Syarikat Hindia Timur, berkaitan sejarah Malaysia. Walaupun sumber-sumber ini dalam bentuk asalnya disimpan di London (seperti di Public Record Office dan India Office Library), kebanyakannya boleh didapati dalam bentuk mikrofilem di perpustakaan di Malaysia dan Singapura. Tinjauan seperti ini semestinya amat berguna kepada penuntut dan juga pengkaji sejarah Malaysia. Bahagian kedua yang berkisar kepada nasionalisme dimulakan dengan perbincangan Abdul Rahman Ismail berkenaan kemunculan nasionalisme Melayu. Perbincangan yang menarik ini dibuat berdasarkan kepada akhbar serta majalah Melayu yang telah diterbitkan sekitar penghujung abad ke-19 hingga separuh pertama abad ke-20. Abdul Rahman membuat kesimpulan bahawa nasionalisme Melayu sudah pun muncul sebelum tahun 1930-an, sekaligus menolak pandangan William Roff yang cukup berpengaruh sehingga hari ini. Sementara itu Abu Talib Ahmad pula, dengan merujuk kepada sumber Inggeris dan Jepun, membincangkan dasar serta tindakan kerajaan penjajah, di London dan di Simla (markas kerajaan buangan Burma di antara Mei 1942-Oktober 1945), terhadap isu pensubahatan dengan Jepun serta kesetiaan kepada Inggeris yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Aung San, Dr. Ba Maw, U Ba U dan Sir Paw Tun. Kemunculan persatuan "sosial" India sejak awal abad ke-20 merupakan fokus perbincangan Khoo Kay Kim di dalam bab sebelas. Kesimpulan yang dibuat oleh beliau berkenaan persatuan ini yang merupakan tabir bagi pemimpin India semasa "berpolitik" lantas mencadangkan perlunya disemak semula maksud "persatuan politik" dalam konteks sejarah Malaysia merupakan satu cadangan yang menarik. Di dalam bab yang akhir, dengan merujuk kepada sumber lisan di antaranya, Ismail Md. Isa menumpukan perhatiannya kepada sejarah tempatan dengan merujuk kepada "penubuhan" Pekan Cina di Alor Setar pada awal abad ke-19. Pekan Cina merupakan satu kawasan penempatan orang Cina yang dikelilingi oleh kawasan kediaman orang Melayu terutamanya petani. Berbagai-bagai pihak telah memberikan sumbangan bagi menjayakan penerbitan buku ini. Pertama, terima kasih diucapkan kepada Universiti Sains Malaysia dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di atas bantuan dan sokongan untuk menerbitkan buku ini. Sokongan Jawatankuasa Penerbitan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Jawatankuasa Penerbitan Universiti Sains Malaysia untuk menerbitkan buku ini diucapkan terima kasih. Terima kasih juga diberikan kepada Y. Bhg. Datuk Profesor Sharom Ahmat di atas sumbangan kewangan yang dihulurkan. Kami juga mendapat kerjasama serta berbagaibagai sokongan daripada ahli-ahli Bahagian Sejarah dan tanpa sokongan ini buku tersebut ini tidak mungkin terhasil. Kepada individu berikut: Puan Goon Phaik Khuen, Cik Maheswari, Puan Rohaya, Cik Ong Chun Ee dan Cik Normani Din (dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan) dan Puan Rosni Habib (dari Perpustakaan) diucapkan terima kasih kerana menguruskan hal-hal penaipan dan sebagainya. Kepada penilai yang telah memberikan ulasan yang sangat bernas diucapkan terima kasih walaupun tidak semua cadangan beliau dapat dipenuhi dengan sempurna.

Tu opinión sobre este libro es importante: